SEJARAH TERENGGANU MENDAPAT NAMA

Secara umumnya, sejarah sebenar mengenai bagaimana Terengganu ini mendapat namanya tidaklah begitu jelas. Namun, terdapat pelbagai kisah menarik yang boleh dikaitkan dengan penemuan kawasan dan nama Terengganu ini. Apa yang pasti, nama Terengganu yang ada kini adalah kekal sejak kali pertama ia diberi, berbeza dengan negeri-negeri lain seperti Pahang yang berasal daripada nama Inderapura. Antara kisah dan peristiwa menarik yang dikaitkan dengan penemuan nama Terengganu ialah:


1. Taring anu

Kisah ini dikatakan diketahui daripada Al-Marhum Sultan Umar, iaitu Sultan yang kesembilan memerintah negeri Terengganu, pada sekitar tahun 1839 hingga tahun 1876. Berdasarkan kisah baginda, pada zaman dahulu, sebelum kawasan tersebut dikenali dengan nama Terengganu, terdapat satu rombongan daripada negeri Pahang datang mengembara ke bahagian Hulu Terengganu, bertujuan untuk memburu.

Setibanya rombongan tersebut ke Sungai Terengganu Mati, salah seorang daripada mereka menemui sebatang taring yang yang berbeza daripada apa yang pernah mereka temui. Salah seorang telah berkata bahawa itulah ‘taring anu’, kerana telah lupa apakah nama asalnya. Dan perbualan ini berakhir di situ sahaja.

Beberapa hari kemudian, rombongan ini bertemu pula dengan seekor rusa di kawasan tersebut, lalu dibunuh oleh mereka. Apabila mereka membawa rusa itu pulang ke tempat perhentian mereka, terdapat beberapa orang lain yang tidak mengikuti aktiviti perburuan telah bertanya, “Di manakah kamu menemui rusa ini?” Maka telah dijawab oleh orang-orang yang berburu itu, “Di tempat taring anu.” Lama kelamaan nama tempat tersebut telah dipanggil sebagai Terengganu, seperti mana yang diceritakan dalam kisah ini.


2. Terangnya "Ganu"

Kisah ini merupakan antara kisah terkenal yang dikaitkan dengan penemuan nama Terengganu. Menurut cerita orang-orang tua, pada zaman dahulu, terdapat suatu peristiwa di mana kelihatan ‘cahaya kilat memancar, di kaki langit’. Kejadian ini dikatakan berlaku pada suatu malam, di mana ramai penduduk duduk di tepi pantai di negeri Kelantan untuk menyaksikannya. Para penduduk berkumpul semata-mata untuk memerhatikan cahaya kilat yang terang benderang di langit, yang disertai dengan bunyi yang dahsyat seumpama petir membelah langit, dan sinar cahaya yang terang itu dikatakan telah sampai hingga ke kawasan Kuala Terengganu.

Oleh kerana masyarakat pada waktu itu ingin memperingati had sempadan di mana berlakunya peristiwa cahaya terang benderang itu, maka, disebutkan tempat tersebut sebagai ‘Terang Ganu’ yang bermaksud terang hingga ke sana (terang ga nu – terang hingga nu = terang hingga ke sana). Lama kelamaan, nama tempat ini telah dikenali sebagai Terengganu.

Perkataan terang ganu ini turut merujuk kepada suatu lagi peristiwa lain, di mana suatu ketika dahulu, terdapat rombongan daripada Kelantan yang belayar hingga sampai ke kawasan Kuala Sungai Taring Anu (Kuala Terengganu). Sesampainya mereka di situ, cuaca begitu redup dan hujan turun renyai-renyai. Dan, pada waktu itu kelihatan suatu cahaya terang di langit yang dipanggil pelangi. Maka, bertanyalah rombongan Kelantan kepada masyarakat di situ, “Apa panggilan untuk cahaya tersebut di sini?” Dan mereka menjawab, “Kami memanggilnya ganu.”. Dan orang Kelantan membalasnya dengan berkata, “Terang sungguh ganu di sini.” Apabila rombongan tersebut pulang ke Kelantan, maka mereka terlah bercerita mengenai kisah ganu yang begitu terang di kawasan yang mereka singgah itu.

Awan ganu


3. Sungai Terengan

Berdasarkan kajian yang dijalankan oleh Persatuan Sejarah cawangan Terengganu, yang telah melawat kawasan sebuah sungai pada Julai 1975, terdapat kemungkinan bahawa nama Terengganu ini terbit hasil daripada nama Sungai Terengan. Muara sungai Terengan dikatakan telah berpecah dua, di bahagian kanan mudik telah menghala ke Sungai Kerbat, manakala di sebelah kirinya pula ialah Kuala Terengan dan Sungai Terengan. Terengan pada masa dahulu merupakan salah sebuah kampung di Hulu Terengganu.

Oleh kerana keadaan Sungai Terengan ini telah berpecah kepada dua bahagian, maka pada zaman dahulu, apabila ada orang yang mengembara daripada sebelah Hulu Pahang atau Hulu Kelantan dan sampai ke pecahan sungai tersebut, maka penduduk tempatan akan bertanya, “Ke manakah arah yang hendak dituju? Ke Terengan ni atau ke Terengan nu (Terengan sebelah sana)?”. Begitulah panggilannya sehinggalah nama tersebut bertukar menjadi Terengganu.


4. Terenggani

Terdapat juga pendapat yang menyatakan bahawa kemungkinan juga nama Terengganu ini berasal daripada perkataan Terenggani, iaitu suatu perkataan dalam bahasa Tamil yang bererti ‘tanah berbukit’. Nama ini dipercayai diberikan oleh para pelayar daripada India, yang sampai ke Terengganu pada masa itu, dan melihat keadaan muka bumi kawasannya yang berada di sepanjang laut dan berbukit bukau.


5. Ting Chia Hsia Lu, Ting Ka Ha Lou

Berdasarkan catatan sejarah, dikatakan bahawa para pelawat Cina yang datang ke kawasan Terengganu memberikan nama ‘Ting Chia Hsia Lu’ atau ‘Ting Ka Ha Lou’ (Kantonis) kepada kawasan tersebut. Selain itu, menurut catatan seorang ahli sejarah China, iaitu Chao Ju Kua, yang menulis pada tahun 1225 Masehi, telah menyebut Terengganu sebagai Tong Ya Nong dan Kelantan sebagai Kai Lan Tan, dan menamakan kedua-dua kawasan ini sebagai dua buah pelabuhan di kawasan pantai timur semenanjung. Terdapat juga nama-nama lain dalam bahasa Cina yang berkaitan dengan negeri Terengganu, iaitu Tin Ko Nou, Ting Kia Lou dan Ting Ko Lo.


6. Terenkanu

Nama Terenkanu ini telah ditemui tercatat pada Batu Bersurat yang ditemui di Kampung Buloh, Kuala Berang pada sekitar tahun 1887. Malah, terdapat juga catatan yang ditemui pada duit timah (pitis) yang bertarikh 1310H (1891 Masehi) di mana ia ditulis sebagai ‘terqanu’.


Kesimpulan

Ini merupakan antara kisah serta peristiwa menarik yang telah dicatatkan mengenai bagaimana negeri Terengganu ini mendapat namanya. Kebanyakan peristiwa ini telah banyak diceritakan oleh masyarakat dahulu kala dan diperturunkan kepada cucu cicit mereka sebagai suatu simbolik dan memperingati asal usul negeri tercinta. Penggunaan ‘Darul Iman’ sebagai gelaran bagi negeri Terengganu juga masih tidak dapat diketahui bila dan bagaimana ia bermula. Namun, sebagaimana yang dicatatkan dalam catatan sejarah Terengganu, Al-Marhum Sultan Umar yang memerintah Terengganu sekitar tahun 1839 hingga 1876, dikatakan telah menggelarkan negeri ini sebagai ‘Darus-Salam’.

Begitulah sedikit sebanyak sejarah dan asal usul nama negeri Terengganu sebagaimana yang diceritakan oleh masyarakat setempat dan catatan sejarah. Walau apapun sejarah dan asal usul yang diceritakan, ia haruslah dipelihara agar anak-anak pada masa akan datang tetap kenal dan mengetahui akan kisah unik di sebalik nama Terengganu ini.

Kredit : The Patriot

Comments

Popular posts from this blog

MAKSUD LOGO TERENGGANU MAJU, BERKAT & SEJAHTERA

MAKANAN TRADISIONAL TERENGGANU

SENARAI SULTAN NEGERI TERENGGANU